‘Tebuan Pembunuh’ Dijumpai Buat Pertama Kali di Amerika

Di kala Amerika Syarikat masih lagi di bawah serangan pandemic coronavirus, negara tersebut didatangi satu lagi serangan baru : ‘Tebuan Pembunuh’.

Tebuan gergasi Asia yang berukuran 2 inci (5cm), Vespa mandarinia, telah dijumpai di Washington.

Sengatan berulang-kali oleh tebuan tersebut kepada manusia boleh membawa maut. Apabila dalam ‘fasa membunuh’, tebuan itu akan memburu lebah madu, di mana lebah yang telah mati akan diberi makan kepada anak-anak tebuan.

Para saintis kini sedang mencari tebuan tersebut, dengan harapan untuk membanteras spesies itu sebelum ia menghapuskan lebah madu di Amerika.

Walaupun ia itu biasanya menjauhi manusia, ‘tebuan pembunuh’ itu dianggarkan menyebabkan sehingga 50 kematian setiap tahun di Asia, menurut akhbar New York Times.

Tebuan tersebut pertama kali dijumpai di Amerika Utara pada Ogos 2019, di British Columbia, Kanada. Beberapa bulan selepas itu pada December 2019, serangga bersayap itu dilaporkan pula berada di selatan sempadan Washington.

Washington State University (WSU) tidak pasti bagaimana atau bila tebuan itu mula tiba di Amerika Utara, tetapi penternak-penternak lebah di wilayah itu ada melaporkan kematian sarang lebah yang mengejutkan baru-baru ini. Para saintis sedang bersiap sedia dengan kemunculan spesies tersebut apabila ia memulakan kitaran hidup pada musim bunga.

Tebuan ini bersaiz ‘besar yang menakutkan’ kata Todd Murray, seorang saintis di WSU dan pakar spesies invasif. “Ia adalah satu ancaman kesihatan, dan lebih penting, satu pemangsa madu lebah yang kuat.”

Tebuan ini bersaiz ‘besar yang menakutkan’ kata Todd Murray.

Serangga itu, kira-kira sebesar kotak mancis, mempunyai kepala berwarna oren kekuningan yang besar, mata hitam yang ketara dan badan berjalur hitam dan kuning.

“Mereka kelihatan seperti kartun raksasa dengan muka kuning-oren yang besar,” kata Susan Cobey, penternak lebah di Jabatan Entomologi WSU di sidang akhbar.

Kitaran hidup tebuan gergasi Asia bermula pada April, apabila permaisurinya keluar dari hibernasi, mula makan dan mencari kawasan bawah tanah untuk membuat sarang. Sebaik sahaja habitatnya siap dibina dalam musim panas dan musim luruh, tebuan pekerja dihantar untuk mencari makanan.

Dengan rahangnya yang bergigi tajam, tebuan tersebut mampu memotong lebah madu dan memberi makan kepada anak-anak tebuan. Tebuan-tebuan itu boleh menghapuskan sarang lebah dalam masa beberapa jam sahaja!

Walaupun sarang lebah menjadi sasaran utama, tebuan tersebut juga akan menyerang manusia apabila diancam. Sengatan berulang-kali boleh membawa maut, walaupun bagi mereka yang tidak mempunyai alahan.

Di Jepun, di mana tebuan ini paling biasa dijumpai, ia membunuh kira-kira 30 hingga 40 orang setiap tahun.

“Ia terasa seperti daging saya dicucuk dengan paku tekan yang panas membara,” kata Conrad Bérubé, seorang penternak lebah di Vancouver Island. Sengatan tebuan itu menembusi sut lebah dan seluar yang dipakai dalamnya.

Saintis WSU akan mula memerangkap permaisuri tebuan itu pada musim bunga, dengan tujuan untuk mengesan dan menghapuskan spesies itu.

Populasi lebah dan binatang pendebunga lain sudahpun semakin berkurangan di Amerika Syarikat. Di antara tahun-tahun 1947 dan 2017, bilangan koloni lebah di Amerika telah menjunam daripada 6 juta kepada 2.5 juta. Pada tahun lepas, penyelidik dari University of Maryland telah melaporkan 40% daripada koloni lebah di negara itu telah mati dalam satu musim sejuk sahaja, di antara Oktober 2018 dan April 2019 – kehilangan yang paling besar pernah direkodkan.

Pendebunga seperti lebah memainkan peranan dalam satu pertiga makanan di Amerika dan peningkatan hasil tanaman negara itu setiap tahun sebanyak USD15 bilion, menurut Jabatan Pertanian Amerika.