Membezakan Madu Asli dan Palsu Dengan Cepat
Sebelum ini, Khasiat-madu.com telah memaparkan cara-cara membezakan madu asli dan palsu di dalam artikel lepas. Tetapi selepas lawatan riadah ke Cameron Highlands baru-baru ini, kami mendapati cara-cara yang dikongsi dalam artikel tersebut mungkin agak susah untuk diguna-pakai ketika di jalanan. Jadi, Khasiat-madu.com telah memikirkan beberapa cara mudah untuk peminat-peminat madu mengenalpasti keaslian madu dengan cepat di dalam keadaan yang tidak mengizinkan anda untuk menguji madu dengan teliti.
Cameron Highlands, Pahang memang antara kawasan yang popular di kalangan pembeli madu untuk mendapatkan madu yang asli dan berkualiti. Di sini, terdapat beberapa ladang lebah yang mengeluarkan produk madu. Sesungguhnya, kami lebih gemar membeli madu di sini kerana kewujudan ladang lebah bermakna madu asli ada dihasilkan di tempat yang sama.
Di sepanjang perjalanan ke Cameron Highlands, anda akan dapat melihat botol-botol madu yang dijual oleh orang asli di sana. Di pasar-pasar sekitar Brinchang pula, anda akan mendapati banyak gerai yang menjaja madu (di samping produk utama – strawberi dan jagung).
Walau bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan ada penjual yang ingin mengaut keuntungan lebih dengan menjual madu palsu atau madu yang dicampur. Di dalam keadaan orang ramai berpusu-pusu dan ketiadaan bahan-bahan untuk menguji madu dengan teliti, mungkin sukar untuk anda menentukan keaslian madu yang dijual.
Oleh itu, berikut adalah cara-cara mudah yang boleh digunakan untuk menguji keaslian dan kualiti madu :
- Lihat pada lapisan buih di atas botol madu. Jika buihnya terlampau atau tiada buih langsung, maka madu tersebut mungkin kurang asli.
- Lihat sama ada madu putih (atau royal jelly) juga dijual dengan madu biasa. Jika madu putih dijual dalam kuantiti yang banyak (sama banyak dengan madu biasa), kemungkini madu tersebut tidak asli. Madu putih biasanya hanya didapati dalam kuantiti yang sedikit berbanding madu biasa dan amat sensitif kepada cahaya dan cuaca panas. Penjual madu yang berpengalaman sepatutnya arif dengan cara untuk menyimpan madu putih dan tidak menjualnya berbotol-botol di jalanan.
- Cuba bertanya kepada si penjual sama ada dia mempunyai ladang lebah di kawasan berdekatan. Mereka yang mempunyai ladang lebah mempunyai kebarangkali yang lebih tinggi menjual madu asli. Jika berkesempatan, adalah lebih baik untuk terus ke ladangnya untuk membeli madu.
Berbekalkan tip di atas, Insya-allah, saudara-saudari dapat membeli madu asli yang berkualiti. Untuk bekalan madu asli yang berkualiti, anda boleh beli madu secara online daripada kami.